ACEH; 10 TAHUN SELEPAS TSUNAMI

Seperti yang Nisa janjikan sebelum ni, Nisa akan ceritakan pengalaman Nisa sepanjang bercuti di Banda Aceh bersama keluarga. Aceh sangat dikenali dengan sejarahnya dimana ketika dibangku sekolah kita telah belajar mengenai kehebatan sejarahnya namun setelah tamat sekolah kebanyakkannya ramai yang kian melupakan sejarah dan nama Aceh tersebut. Setelah berlakunya kejadian Tsunami yang sangat dasyat di Aceh pada 2004 dimana telah mengorbankan hampir 300,000 rakyat, Aceh telah menjadi perhatian di mata dunia. Namun setelah 10 tahun berlalu, kejadian tersebut kian dilupakan. Kita mula leka dan lalai dengan permainan dunia sedangkan hanya dalam sekelip mata Allah mampu mengambil nyawa kita. Sedarkah kita?

(Tsu=Pelabuhan manakala Nami=Gelombang)

Tsunami adalah nama yang diberikan oleh Jepun dimana Tsu=Pelabuhan manakala Nami=Gelombang.
Tsunami sering berlaku di negara Jepun. Justeru itu mereka telah menyediakan pelbagai persiapan bagi menghadapi bencana tersebut. Berbeza bagi negara Indonesia kerana bencana Tsunami ini tidak pernah berlaku di negara tersebut.

Berbalik pada kisah perjalanan Nisa. Seperti yang Nisa ceritakan pada entri sebelum ini, Nisa dan keluarga telah selamat berlabuh di Jeti Ulee Lheue dari Pulau Sabang pada hari Jumaat 16 Mei 2014. Kami disambut oleh Fahmi iaitu pemandu dari hotel penginapan kami iaitu Rumoh PMI. Fahmi telah membawa kami sarapan dahulu sebelum ke tempat penginapan kami iaitu di sebuah restoran yang mempunyai pelbagai masakan melayu. Pemilik kedai tersebut sangat peramah dimana beliau dan isterinya telah berkongsi cerita dengan kami mengenai pengalamannya sepanjang bekerja di Malaysia sebagai tukang masak. Oleh sebab itulah mereka mampu memiliki sebuah restoran yang sangat cantik dan selesa di Aceh. Betul-betul di sebelah restoran tersebut, terdapat sebuah Rumah Tsunami dimana rumah itu telah meragut nyawa keluarga seorang anggota polis seramai 8 orang. Rumah itu sengaja dibiarkan oleh kerajaan Aceh sebagai tanda kekuatan Tsunami.
(Rumah Tsunami dimana kesemua 8 ahli keluarga seorang anggota polis telah terkorban)

Selepas abah dan abang selesai menunaikan Solat Jumaat di Masjid Baiturrahman iaitu majid besar di Banda Aceh, kami pun mulakan perjalanan kami. Tempat pertama yang kami lewati adalah Rumoh Aceh kepunyaan Cut Nyak Dhien. Cut Nyak Dhien ialah seorang pahlawan wanita di Aceh ketika Aceh ditawan Belanda. Kami diberi penjelasan mengenai sejarah rumah tersebut oleh seorang makcik iaitu penjaga rumah tersebut dimana penerangannya sangat terperinci. Sebelum kami ingin bergerak ke destinasi seterusnya, kami sempat bertanya kepada makcik tersebut samada makcik ada di Aceh ketika Tsunami berlaku atau tidak. Selepas kami bertanya, barulah makcik tersebut menceritakan pengalamannya ketika Tsunami berlaku. Semasa kejadian Tsunami, beliau berada di Rumoh Aceh tersebut. Beliau sempat berlari ke atas bukit di belakang Rumoh Aceh tersebut selepas melihat air datang. Beliau telah bermalam di atas bukit tersebut selama beberapa hari. Adiknya yang ingin bersalin ketika Tsunami berlaku telah dipegang erat oleh suaminya namun mereka telah terpisah oleh kerana arus air yang sangat laju. Suami adiknya itu selamat namun adiknya telah terkorban. Mayat adiknya telah ditemui oleh orang kampung di sawah tidak jauh dari rumahnya dimana arwah tidak sempat melahirkan anaknya.

(Rumah Cut Nyak Dhien. Di bukit belakang itulah makcik tersebut menyelamatkan diri)

Setelah mendengar kisah sayu dari makcik tersebut, kami ke masjid dimana kubahnya telah teralih. Seterusnya kami ke Masjid Rahmatullah yang terletak di Kampung Lampu'uk dimana hanya masjid ini sahaja yang masih kukuh manakala rumah dan bangunan yang terdapat di keliling masjid tersebut hancur diranap Tsunami. Masjid ini terletak hanya 400m dari kawasan laut.

(Kubah masjid teralih)

(Bulan sabit dan bintang di atas kubah telah senget akibat Tsunami namun dibiarkan hingga kini. Masjid ini telah menyelamatkan 50 lebih nyawa penduduk yang berlindung di sini)

Dari luar kelihatan masjid tersebut sangat kukuh namun ketika Nisa masuk sahaja ke dalam masjid tersebut, hanya kalimah Masya-Allah yang terkeluar dari mulut Nisa. Jantung Nisa mula berdegup laju pabila melihat sedikit sisa Tsunami yang sengaja ditinggalkan di dalam masjid tersebut. Terdapat gambar-gambar di kawasan kampung itu setelah kejadian Tsunami di tempat sisa tersebut. Sedang Nisa dan keluarga menatap satu persatu gambar tersebut, Nisa berasa sangat sayu dan airmata tidak dapat ditahan lagi selepas melihat sebuah gambar yang penuh bermakna bagi Nisa. Gambar tersebut menyatakan daripada beribu-ribu jemaah di kampung itu, hanya tinggal beberapa jemaah sahaja yang terselamat dan mereka sedang menunaikan solat jemaah di masjid tersebut dalam keadaan yang sangat menyedihkan setelah 5 bulan Tsunami berlalu. Nisa cuba mengawal airmata dari terus mengalir namun Nisa tewas sekali lagi setelah melihat di penghujung pameran gambar tersebut, ada sebuah pintu dimana sesiapa sahaja boleh masuk untuk melihat dengan lebih dekat tiang-tiang bangunan masjid yang hancur. Nisa kuatkan hati dan cuba melangkah masuk namun setelah 2 langkah Nisa patah balik kerana terlalu takut dengan apa yang Nisa lihat. Hati Nisa tidak henti berkata, 'Masya-Allah, apa akan jadi pada aku jika aku berada di sini pada hari tersebut? Masih hidupkah aku?'. Nisa cuba mengawal perasaan.

(Pemandangan di belah kiri sejurus masuk ke dalam masjid)

(Gambar yang berjaya mengalirkan airmata Nisa)

(Objek-objek putih yang kelihatan itu adalah khemah sebagai tempat penginapan sementara mangsa yang didirikan setelah beberapa bulan selepas kejadian. Hanya Masjid Rahmatullah yang terselamat manakala di kelilingnya seperti padang jarak padang tekukur)


(Kedua-dua gambar ini adalah pemandangan ketika masuk ke dalam pintu yang Nisa katakan tadi untuk melihat dengan lebih dekat)

Tidak lama selepas itu, ada seorang pakcik datang ke arah Nisa dan abang. Pakcik tadi sudah dapat menjangka kami dari Malaysia lalu beliau terus menerangkan setiap keping gambar yang kami lihat sebentar tadi. Setelah berbual, baru kami tahu pakcik itu adalah bilal di masjid tersebut. Selepas kami bertanya samada pakcik ada semasa kejadian atau tidak, barulah pakcik tersebut kongsikan ceritanya bersama kami.

Ketika kejadian, beliau berada di sebuah kenduri di dalam kampung itu juga. Sedang beliau tekun membantu, tiba-tiba beliau terdengar suara orang menjerit 'Lari...Lari...Air naik!' namun beliau tidak faham apa yang pemuda tersebut katakan lalu beliau endahkan sahaja. Sebaik beliau pusing ke belakang, ombak yang tersangat tinggi sudah berada terlalu dekat dengannya. Beliau tidak dapat berbuat apa melainkan berdoa dan berserah. Beliau telah digulungkan ombak hingga ke bukit hujung kampungnya dan sebelum ombak kali kedua datang, beliau sempat berlari naik ke atas bukit. Mereka yang berada di atas bukit terlalu trauma untuk turun ke darat hingga telah bermalam di atas bukit tersebut selama beberapa hari.

Hanya anaknya yang kedua sahaja terselamat manakala bini, anak-anaknya dimana yang paling kecil baru berumur 3tahun dan sedara-maranya telah pergi menghadap Ilahi. Seramai 1,000 lebih penduduk di kampung itu telah terkorban. Kelihatan pakcik tersebut sangat tenang menceritakan kisahnya kepada kami walaupun beliau sudah kehilangan harta, keluarga dan kawan. Tanpa sedar, waktu Maghrib sudah pun hampir. Kami pun membuat keputusan untuk solat jemaah di masjid tersebut dengan berimamkan pakcik tadi.

(Pakcik/ Bilal yang telah menceritakan pengalamannya dengan amat tenang)

Selesai solat jemaah, kami bersalaman dengan jemaah wanita yang kelihatannya hampir kesemua sudah berumur. Ketika Nisa dan abah di tangga masjid sedang memakai kasut,  seorang nenek bertanya kami dari mana. Sedang asyik berbual, barulah kami tahu bahawa nenek tersebut adalah salah seorang mangsa yang terselamat dari kampung itu. Beliau dan adiknya sahaja yang terselamat manakala keluarganya yang lain semua telah terkorban. Ya Allah, tabah betul mereka harungi semua ini. Bayangkanlah bagaimana cara untuk mereka melepaskan rindu pada ahli keluarga yang sudah tiada sedangkan gambar mereka pun turut musnah. Hanya kenangan yang masih ada bersama mereka. Abah sempat mendermakan sedikit wang kepada nenek dan adiknya yang kelihatan sama umur dengannya. Ketika bersalam sebelum kami berangkat, Nisa memeluk kedua-dua nenek tersebut dan sempat berbisik sesuatu kepada mereka. Harap mereka akan terus tabah.

Selepas ke Masjid Rahmatullah, kami ke Masjid Baiturrahman pula iaitu masjid besar Banda Aceh. Masjid tersebut sangat meriah walaupun ketika itu sudah pukul 10 malam. Kanak-kanak dibiarkan bermain di kawasan masjid kerana ingin membiasakan mereka untuk ke masjid pabila remaja kelak. Kelihatan ada yang masih solat, mengaji, berzikir di dalam masjid walaupun sudah hampir lewat malam.

Masjid Baiturrahman juga menyimpan pelbagai kisah yang tak diduga. Insya Allah, Nisa akan kongsikan lagi di entri seterusnya. Semoga entri seterusnya dapat membuka mata semua pihak mengenai kebesaran Ilahi.

(Masjid Baiturrahman iaitu masjid besar Banda Aceh yang mempunyai pelbagai kisah yang tidak diduga sewaktu Tsunami)

Al-Fatihah buat mereka yang terkorban. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan semoga keluarga mangsa akan terus tabah dengan dugaan yang diberikan.



0 Comment(s):

Post a Comment

 
Copyright © 2016 KNISAZIZ. All rights reserved.