ACEH; 10 TAHUN SELEPAS TSUNAMI (PART 2)

Pada entri sebelum ini, Nisa telah menceritakan perjalanan dan pengalaman Nisa pada hari keempat 16 Mei 2014 Nisa di Banda Aceh setelah selamat berlabuh di jeti dari Pulau Sabang dimana Nisa ke Rumah Cut Nyak Dhien iaitu pahlawan wanita di Aceh pada dulu kala, Masjid Rahmatullah dimana pakcik atau bilal di masjid tersebut telah kongsikan pengalamannya menyelamatkan diri semasa kejadian Tsunami yang telah mengorbankan keluarga dan 1,000 lebih jemaah di kampungnya dan pelbagai lagi kisah yang amat berguna buat kita yang masih hidup agar dapat dijadikan peringatan mengenai kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Buat entri kali ini, Nisa akan sambungkan lagi dengan perjalanan Nisa di hari kelima dimana Nisa telah ke Museum Bersejarah Aceh, Museum Tsunami dan banyak lagi cerita menarik yang Nisa akan kongsikan.

Hari kelima 17 Mei 2014 Nisa di Banda Aceh, Nisa dan keluarga telah dibawa oleh pemandu kami iaitu Fahmi ke museum-museum bersejarah yang menceritakan mengenai sejarah-sejarah Aceh pada Zaman Kesultanan dulu kala. Kami juga telah ke Gunongan iaitu tempat permaisuri bermain dimana ianya telah dibina oleh Sultan Iskandar Muda untuk isterinya kerana isterinya terlalu merindui kampung halamannya yang berbukit-bukau yang terletak di Pahang.

(Rumoh Aceh)

(Anak-anak Aceh sedang mengadakan lawatan sambil belajar di Rumoh Aceh)

(Laluan di dalam Rumoh Aceh)

(Bahagian dapur Rumoh Aceh)

(Gunongan iaitu taman permainan permaisuri yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda untuk isterinya yang merindui kampung halamannya yang berbukit-bukau iaitu Pahang)

(Pintu masuk untuk mendaki Gunongan yang sangat kecil dan sempit)

(Laluan di dalam Gunongan)

(Keadaan di atas Gunongan. Di sini lah tempat permaisuri bermain bersama dayang-dayangnya)

(Pemandangan dari atas Gunongan)

Setelah ke museum bersejarah, kami ke Museum Tsunami pula dimana museum ini telah menyimpan 1001 kenangan sebelum, semasa dan selepas kejadian Tsunami. Museum ini telah dibuka pada tahun 2011 iaitu 8 tahun selepas kejadian Tsunami yang telah meragut hampir 300,000 nyawa penduduk.

(Museum Tsunami)

Masuk ke museum ini adalah percuma tetapi diingatkan supaya tidak membawa beg tangan mahupun beg sandang ke dalam museum ini. Cuma kamera, handphone dan beg duit sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk. Jika terbawa, beg boleh diletakkan di dalam loker yang akan diawasi oleh penjaga disitu.
Sebelum masuk ke dalam, kami telah disambut oleh sebuah helikopter polis yang telah hancur akibat Tsunami yang terletak di sebelah pintu masuk.

(Helikopter polis yang telah terkena ombak Tsunami)

Sejujurnya Nisa agak seram ketika masuk ke dalam museum tersebut kerana keadaan di dalam museum pada awalnya agak gelap dimana kami telah melalui sebuah lorong yang terdapat air mengalir dari atas di kiri dan kanan dinding. Di penghujungnya terdapat sebuah bilik yang terdapat banyak skrin seperti komputer dimana ianya telah menunjukkan gambar-gambar ketika kejadian Tsunami.

(Laluan lorong di dalam Museum Tsunami dimana kiri dan kanan dinding terdapat air yang mengalir dari atas)

(Bilik dimana terdapat banyak skrin kecil yang menunjukkan gambar-gambar kejadian Tsunami)

Seterusnya kami ke sebuah bilik berbentuk bulat dimana keliling dindingnya terdapat nama-nama mangsa yang terkorban akibat Tsunami dan kedengaran surah-surah Al-Quran dipasangkan dengan amat jelas didalam bilik tersebut. Hati Nisa mula sayu pabila membaca nama-nama tersebut dan lebih sayu apabila terlihat kalimah Allah apabila Nisa mendongak memandang ke atas. Masya-Allah. Selepas itu kami telah melalui sebuah jambatan dimana apabila lihat ke atas, terdapat bendera-bendera negara yang telah membantu Aceh setelah kejadian Tsunami. Salah satunya bendera Malaysia.

(Di dalam bilik bulat kedengaran jelas bacaan surah-surah Al-Quran dimana dindingnya tertulis nama-nama mereka yang telah terkorban akibat Tsunami dan di atasnya terdapat kalimah Allah. Jelaslah disini menyatakan mereka telah kembali kepada Maha Pencipta. Al-Fatihah)

(Jambatan untuk ke bilik seterusnya dimana di atasnya terdapat bendera-bendera bagi 60 buah negara yang telah membantu Aceh setelah Tsunami)

Terdapat banyak bilik-bilik dimana terdapat banyak gambar-gambar sebelum, semasa dan selepas kejadian Tsunami. Perasaan Nisa bercampur-baur ketika melihat setiap gambar yang mempunyai pelbagai cerita disebaliknya. Masya-Allah.


(Jam dimana saksi bagi waktu kejadian Tsunami)

(Gambaran PLTD Apung yang dibawa ke darat sejauh 4-5km)

(Gambaran Masjid Rahmatullah seperti yang Nisa pernah kongsikan pada entri sebelum ini dimana masjid ini terletak 400m dari laut namun masih bertahan walaupun kelilingnya telah menjadi padang jarak padang tekukur. Masjid ini telah menyelamatkan 50 lebih nyawa penduduk yang sempat berlindung di sini)

(Banda Aceh sebelum kejadian Tsunami)

(Banda Aceh setelah kejadian Tsunami)

(Gambaran ketinggian ombak Tsunami yang telah meragut ratusan ribu nyawa penduduk. Allahuakhbar!)

(Keadaan Banda Aceh beberapa minit sebelum berlakunya kejadian Tsunami dimana telah berlaku gempa bumi sekuat 9 skala richter)

(Kapal nelayan kebanyakkannya yang ke laut untuk memancing sebelum kejadian tidak mengetahui apa yang telah berlaku di Banda Aceh. Pulang sahaja ke jeti, mereka terkejut dengan kemusnahan dan mayat yang sangat banyak di perairan Aceh. Gambar ini menunjukkan para nelayan sedang membantu mengambil mayat yang berada di keliling kapalnya)

(Anak ini telah terpisah dengan ibunya selama 7 bulan dimana si ibu menyangka anaknya telah terkorban namun dengan izin Allah mereka dipertemukan semula)

(Kapal nelayan yang telah terdampar di atas rumah seorang ustaz dimana ketika kejadian, ustaz bersama dengan bini dan anak-anaknya berada di atas bumbung rumahnya dan mereka sempat bermaaf-maafan kerana berasa tiada harapan untuk hidup namun Alhamdulillah mereka dipanjangkan umur. Kapal nelayan ini telah menyelamatkan 52 nyawa penduduk yang sempat naik ke atasnya)

(Gambaran lukisan Masjid Baiturrahman dimana masjid ini juga adalah salah satu masjid yang bertahan ketika kejadian)




(Semua ini adalah gambaran lukisan yang dipamerkan di Museum Tsunami untuk dijadikan iktibar)

Selepas ke Museum Tsunami, kami ke pasaraya Aceh untuk membeli-belah. Malaysia bila sampai Indonesia memang tak sah kalau tak shopping kan. Kami telah membeli telekung sulam dimana harganya jauh berbeza sekali dengan harga di Malaysia, kain pelekat, kain batik, tudung, selendang malah abah Nisa turut membeli rencong Aceh dimana ianya sangat terkenal di sana.

(Sesi membeli telekung)

(Ketika kami membeli tudung, kami sempat berkenalan dengan gadis yang menjaga kedai ini iaitu yang sedang memeluk mak Nisa dimana beliau sangat peramah dan ketika kami bertanya mengenai keluarganya, barulah beliau menceritakan bahawa keluarganya telah pun meninggal dunia ketika kejadian Tsunami. Hanya beliau sahaja yang masih hidup kerana sempat berlari menyelamatkan diri ke lapangan terbang. Sejak itu beliau berusaha sendirian untuk mencari rezeki. Terharu rasa pabila mendengar beliau memanggil mak Nisa dengan gelaran bonda dengan suara yang sangat sayu)

Ketika ingin pulang ke tempat penginapan kami, kami berkesempatan untuk menaiki beca. Sepanjang hidup Nisa, Nisa tak pernah menaiki beca walaupun sebelum ini Nisa belajar di Melaka namun tidak pernah berpeluang untuk menaiki beca. Beca di sana berbeza sedikit dengan beca di Malaysia dimana beca di sana membawa penumpang dengan menggunakan motosikal manakala di Malaysia menggunakan basikal.

(Sempat menaiki beca Aceh yang menggunakan motosikal. Salah satu pengalaman yang sangat menarik kerana ini adalah pertama kali Nisa menaiki beca)

Itulah perjalanan Nisa dan keluarga buat hari kelima ketika di Banda Aceh. Kebiasaannya ramai yang ke Bali, Medan, Jakarta hanya untuk membeli-belah dan bersantai. Nisa syorkan kepada mereka yang gemar berjalan agar pergi ke Aceh pula kerana banyak pengalaman menarik yang dapat kita ambil sebagai iktibar. Sambil berjalan rehatkan diri, dapat kita membeli-belah dan dalam masa yang sama dapat kita muhasabah diri dengan sejarah hitam yang telah berlaku di Banda Aceh.

Entri seterusnya adalah penutup bagi perjalanan Nisa dan keluarga di Banda Aceh dimana sebelum ke lapangan terbang, kami telah dibawa oleh pemandu hotel ke PLTD Apung dimana disitulah kami telah mendapat pelbagai cerita yang amat mengejutkan dan menyentuh hati. Insya-Allah.


1 Comment(s):

Hanis Amanina said...

hope to go there one day :)

Post a Comment

 
Copyright © 2016 KNISAZIZ. All rights reserved.