PERCUTIANKU DI PULAU SABANG, ACEH.

Aceh sering menjadi sebutan dan perhatian setelah berlaku kejadian yang paling dasyat pada penghujung tahun 2004. Di sini Nisa ingin kongsikan sedikit sebanyak kenangan Nisa dan keluarga sepanjang kami bercuti selama hampir seminggu di Aceh iaitu pada 13 hingga 18 Mei 2014 baru-baru ini.

Kami berlepas dari KLIA2 ke Banda Aceh pada pukul 12 tengahari. Perjalanan kami ke sana mengambil masa 1 jam 25 minit. Peredaran masa di sana adalah 1 jam lewat daripada masa di Malaysia. Flight kami telah berlandas di Sultan Iskandar Muda International Airport yang terletak di Banda Aceh. Keluar sahaja kami dari pintu utama airport tersebut, kelihatan ramai sangat pemandu kereta sewa bertanyakan ke mana arah tuju kami selepas ini. Kami agak celaru sedikit untuk memilih kerana terlalu ramai tetapi dalam ramai-ramai pemandu itu, kami telah memilih seorang pemuda yang kelihatannya seperti boleh dibawa berbincang. Pada awalnya pemuda tersebut telah setuju untuk menghantar kami ke Jeti Ulee Lheue yang mengambil masa setengah jam dari airport dengan hanya 110,000 Rupiah=RM 31 namun sampai sahaja di jeti tersebut, pemuda tersebut minta wang upahan sebanyak 200,000 Rupiah=RM 56. Sebelum sampai ke jeti, pemuda tersebut telah membawa kami makan di sebuah kedai dimana mereka telah menghidangkan kami kesemua lauk yang ada di kedainya. Telah menjadi rutin setiap kedai makan berlauk di sana dimana mereka akan mengira pada lauk yang kita usik sahaja. Di kedai itu kami hanya makan tidak sampai 5 jenis lauk namun harga yang dikenakan kepada kami sangat mengejutkan iaitu 229,000 Rupiah=RM 65. Mungkin kerana kami orang luar jadi tidak mustahil mereka mengenakan harga yang tinggi.


Sampai di jeti kami telah menaiki feri ke Pulau Sabang. Ada 3 peringkat tiket yang dijual iaitu VIP, Eksekutif dan Ekonomi. Kami telah membeli tiket Eksekutif yang berharga 75,000 Rupiah=RM 21 per kepala. Setelah 1 jam di lautan kami pun sampai di Jeti Balohan, Pulau Sabang dimana waktu itu adalah pada pukul 5.30 petang=6.30 petang waktu Malaysia.

Pulau Sabang juga dikenali sebagai Pulau Weh yang bermaksud usiran kerana pada zaman Aceh ditawan pihak Belanda, pulau itu dijadikan tempat penyimpanan rakyat Aceh yang sakit mental. Tidak kesemua pesakit yang diletakkan disitu mempunyai sakit mental. Pihak Belanda yang dulunya kejam turut meletakkan rakyat Aceh yang ingkar dan cuba membunuh pihak Belanda disana.


Kami bermalam disana selama 4 hari 3 malam iaitu dari hari Selasa 13 Mei hingga Jumaat 16 Mei. Kami menetap di Fredies Santai yang terletak di Pantai Sumur Tiga. Air lautnya yang hijau pasti akan membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta dengan pulau tersebut.


Pada hari pertama kami di pulau tersebut, kami hanya beristirehat setelah hampir sepanjang hari berjalan. Pada esoknya, kami telah jalan keliling pulau tersebut dengan dibawa oleh pemandu yang bernama Hadi dari 8.30 pagi hingga 9 malam dengan upah hanya 500,000 Rupiah=RM 141. 


Seharian berjalan, kami telah dibawa ke pelbagai tempat bersejarah dan pemandangan cantik seperti Kilometer 0 iaitu tempat paling Barat Indonesia, Benteng Jepun dimana sisa meriamnya masih kekal disitu, Terowong Jepun, Pantai Iboih yang sangat dikenali dengan kecantikkan pantainya dimana disitu sangat terkenal dengan aktiviti snorkeling dan scuba diving. Tapi sayangnya kami tidak berkesempatan untuk snorkeling  di pantai tersebut kerana pada ketika itu, daerah disitu sedang mengadakan Kenduri Laut atau Pantang Laut selama 3 hari dimana sesiapa sahaja tidak boleh mandi, memancing, snorkeling, diving mahupun bot tidak boleh lalu di kawasan pantai tersebut. Pantang ini dijalankan setahun sekali. Penduduk di daerah itu berkata bahawa ia adalah salah satu adat di daerah tersebut dan jika ada yang melanggar pantang maka mereka akan dikenakan denda sebanyak 20 juta Rupiah=RM 5,644. Justeru itu Pantai Iboih sangat sunyi pada ketika itu. Dari tepi pantai sahaja sudah kelihatan banyak ikan akuarium. Itulah yang menyebabkan pantai di kawasan itu sangat istimewa.


Sebelum pulang ke chalet, kami telah membeli sate gurita iaitu sate sotong dan kami telah membeli souvenir di sebuah kedai tshirt yang sangat terkenal dengan kualiti bajunya sebagai kenang-kenangan. Kami sempat bergambar bersama pemilik kedai tersebut yang baru berusia 29 tahun iaitu Hijrah Saputra. Beliau telah design pelbagai jenis tshirt sebagai souvenir di Pulau Sabang bermula pada awal usianya. Justeru itu beliau telah mendapat banyak anugerah sebagai usahawan muda.




Pada hari ketiga, kami hanya snorkeling di kawasan pantai penginapan kami memandangkan di kawasan pantai kami tidak ada Pantang Laut. Kami telah membawa peralatan snorkeling kami sendiri jadi kami hanya menyewa live jacket (jaket keselamatan) dan diving fins (kaki itik) sahaja. Jika ingin menyewa satu set iaitu snorkel, diving mask, live jacket dan diving fins, harganya adalah 45,000 Rupiah=RM 12.




Masuk hari keempat, kami mula bersiap untuk berangkat ke Jeti Balohan untuk menetap di Banda Aceh pula. Kami mengambil pemandu yang sama iaitu Hadi untuk menghantar kami ke jeti pada pukul 7 pagi. Kami menaiki feri pada pukul 8 pagi dengan membeli tiket yang sama iaitu Eksekutif. Setelah 1 jam, kami pun selamat sampai di Jeti Ulee Lheue, Banda Aceh. Kehadiran kami telah disambut oleh pemandu di hotel penginapan kami iaitu Fahmi. Kami menginap di Rumoh PMI selama 3 hari 2 malam dan pengalaman kami di Banda Aceh setelah melewati tempat-tempat kejadian Tsunami telah memberi 1001 kenangan yang sukar dilupakan.

Insya Allah, Nisa akan kongsikan pengalaman Nisa sekeluarga di Banda Aceh dengan pelbagai cerita mengenai Tsunami yang kita tidak tahu pada entri selanjutnya. Harap cerita yang bakal Nisa kongsikan dapat memberi sedikit impak kepada kita yang masih hidup. Insya Allah.


0 Comment(s):

Post a Comment

 
Copyright © 2016 KNISAZIZ. All rights reserved.